Besarnya belanja kahwin Rozita Che Wan hinggakan aku teringat kepada seorang pak cik di kampungku. Aku ingin berkongsi kisah salah seorang penduduk di kampung ini yang pada pandangan aku hidup dalam serba kekurangan.
Ada seorang pak cik di kampung aku.Pak cik Sahak namanya. Pada pandangan mata aku, hidupnya sangat daif. Dia punya anak yang ramai. Rasanya semua dah bekerja dan hanya seorang yang masih dalam tanggungannya kerana masalah lembam. Walaupun demikian, anak-anaknya yang ramai itu bukanlah di kalangan orang yang berada. Mereka juga nampaknya seperti ayah mereka, serba kekurangan. Hidup mungkin sekadar cukup makan sahaja. Ada yang duduk bersama pak cik Sahak, ada juga yang merantau. Aku hormat pada pak cik Sahak dan anak-anaknya. Walaupun hidup sangat tidak mewah, masih lagi bekerja meneruskan kelangsungan hidup, berusaha mencari rezeki yang halal tidak seperti sesetengah orang yang hanya mahu kesenangan dengan cara yang cepat sahaja.
Walaupun kehidupan pak cik Sahak serba kekurangan, pelajaran anak-anaknya tidak terabai. Dia berusaha memberikan pelajaran sebaiknya kepada anak-anaknya. Anak-anak pak cik Sahak, T, A dan L dahulu satu sekolah dengan aku. Kami berkawan agak baik juga kerana tinggal satu kampung. Lagipun waktu itu keluarga kami ada sebuah kedai runcit dan hampir semua penduduk kampung kenal kami sekeluarga. Dari situ aku kenal keluarga pak cik Sahak. Isteri pak cik Sahak sangat baik hati walaupun aku tidak tahu namanya. Kalau bertandang ke rumahnya pada hari raya, dia dan anak-anaknya begitu ramah melayan.
Isteri pak cik Sahak meninggal beberapa tahun yang lalu semasa aku masih bekerja di Putrajaya. Emak yang mneyampaikan berita kepada aku. Aku sudah lupa kisah isterinya meninggal. Kalau tidak silap ingatan aku, isteri pak cik Sahak terjatuh di dalam tandas rumahnya dan koma beberapa hari lalu meninggal dunia selepas itu. Anaknya, L, meninggal pada awal tahun ini kerana sakit batuk kering. Itu aku dengar dari mulut orang, bukan dari ahli keluarga pak cik Sahak sendiri.
Aku masih ingat sewaktu L meninggal dunia, jenazahnya diuruskan di surau di sebelah rumah aku. Mungkin keadaan rumah pak cik Sahak terlalu sempit lagi uzur menyebabkan jenazah diuruskan di surau. Majlis tahlil diadakan di dalam keadaan yang serba sederhana. Yasin dibaca di luar rumah, di bawah kanopi yang mungkin dipinjam daripada surau juga. Kasihan dan simpati bermain-main difikiran aku apabila teringat akan kisah pak cik Sahak.
Berbalik kepada kisah belanja kahwin Rozita Che Wan, betapa tingginya kos majlis terebut. Aku tak perlu sebut pun, sebab telah diketahui umum jumlahnya mencecah jutaan ringgit. Aku terbayang kalau-kalau Rozita Che Wan itu kenalan aku, aku nak minta dia cut off beberapa orang tetamu supaya duit tu boleh aku bagi kepada pak cik Sahak. Bukan mintak setengah juta pun. RM10k pun cukuplah. Aku nak bantu pak cik Sahak bina semula rumah dia. Biar dia, anaknya dan cucu-cucunya selesa tinggal di situ.










No comments:
Post a Comment