Monday, 25 June 2012

Kehidupan...

Baru sebentar tadi aku membaca berita di Harian Metro Online berkenaan dengan seorang pemandu teksi yang mendapat pujian daripada seorang pelancong warga Switzerland. Antara petikan berita tersebut berbunyi:

"...Sebelum ini, sebuah akhbar menyiarkan laporan mengenai Saharuddin yang mendapat pujian pelancong dari Switzerland bukan saja kerana kejujurannya memulangkan dompet dan wang yang tertinggal dalam teksinya, baru-baru ini malah menolak imbuhan daripada pelancong itu." 

Aku teringat kisah pada hari Sabtu lepas. Aku diminta bapak untuk ke mesin ATM untuk membuat pengeluaran wang tunai. Kami ke sebuah pasaraya yang terletak di Matang Jaya. Suasana di situ sememangnya agak sesak pada hujung minggu. Dia satu sudut terdapat deretan mesin ATM daripada pelbagai jenis bank. Maybank, CIMB, RHB, BSN, Bank Rakyat dan sebagainya. Aku beratur dihadapan mesin ATM RHB Bank. Di hadapan aku seorang lelaki awal 30-an sedang melakukan transaksi. Aku menunggu sambil memerhatikan gelagat seorang pak cik di mesin bersebelahan. Kalau tidak silap, ATM Bank Rakyat. 

Gayanya seperti sama ada pak cik tersebut tidak biasa menggunakan mesin itu, ataupun mesin itu tergendala (semasa digunakan olehnya). Ada seorang lelaki di belakang pak cik itu. Pakaiannya seperti anggota skin head. Berbaju T dengan jeans ketat. Kepala botak saiz cukur no. 2 :) Anggaranku, usianya mungkin awal 20-an. Semasa giliran aku untuk melakukan pengeluaran wang, pak cik tadi meninggalkan mesin ATM Bank Rakyat dan berpindah pula ke mesin ATM yang berada di sebelah kananku sambil membebel, katanya mesin yang digunakan tadi rosak. Tanpa pak cik itu sedari, sebenarnya transaksi yang dia baru lakukan telah berjaya. Sejumlah wang tunai dalam bentuk beberapa keping not RM100 keluar dari mesin tersebut. Aku yang hampir selesai urusan di mesin RHB hendak memanggil pak cik itu tetapi ragu-ragu untuk melarikan pandangan dari duit not tersebut kerana lelaki dibelakang pak cik itu tadi telahpun mengambil tempat di hadapan mesin ATM Bank Rakyat tersebut. Dia memandang aku dan terus mengambil duit pak cik itu yang masih terlekat di mesin tersebut. Kejadian tersebut berlaku begitu pantas. sehinggakan aku sendiri teragak-agak untuk mengeluarkan suara. 

Pada zaman sekarang ini, terlalu kerap didengari kejadian curi, samun, ragut, rompak dan sebagainya yang bersifat negatif. Ramai yang sanggup untuk melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang dengan cara yang mudah. Di dalam situasi aku itu, walaupun aku sedar umat Islam dituntut untuk bersangka baik terhadap orang lain, sudah tentu otak aku akan memikirkan bahawa seseorang akan mengambil wang pak cik itu sekiranya aku tidak sempat bertindak. 

Sebenarnya lelaki tersebut tidak mengambil duit pak cik itu. Sebaik selepas mengambil wang tadi, dia memanggil-manggil pak cik itu yang sedang terkial-kial di mesin ATM sebelah. Aku menarik nafas lega. Walaupun rasa bersalah terbit di sudut hati, namun aku bersyukur kerana pak cik itu tidak kehilangan wang. Siapa tahu mungkin wang itu hasil titik peluhnya mencari rezeki selama satu bulan. Siapa tahu wang itulah satu-satunya punca makan minum dan barangan dapur keluarga mereka. Kadang-kadang pencuri ni tak ingat yang orang yang menajdi mangsa mereka bukan dari kalangan orang senang. Berkereta tak semestinya kaya, berwang tak semestinya senang. Kalau ingin rezeki lebih, kenalah berusaha lebih. Tak ada, pinjamlah pada sesiapa, jika memainjam untuk membeli makanan, mengisi perut yang kosong, insyaAllah mudahlah jalannya. Jika meminjam untuk beli nombor ekor, yang itu besar kemungkinan sukar jalannya. 

Kesimpulan daripada kedua-dua kisah ini ialah rupa tidak semestinya mencerminkan diri seseorang. Walaupun pemandu teksi yang kita tahu pendapatan tidak seberapa, tidak semestinya dia mengambil dompet pelancong itu. Malah bila ingin diberikan ganjaran oleh pelancong tersebut pun dia menolak pemberian tersebut. 

Aku masih ingat akan pandangan lelaki yang berpewatakan skin head itu. Mungkin dia sedang menimbang-nimbang apa yang hendak dia lakukan pada wang pak cik itu. Dia juga boleh melarikan wang pak cik itu jika dia mahu. Tetapi dia telah memilih untuk memulangkan wang tersebut kepada pak cik itu.

Sebenarnya di dalam dunia ini kita tidak tahu kita berurusan dengan siapa. Semuanya dilakukan dengan tawakal kepada Allah. Mungkin kita kenal luaran seseorang. Dalamannya bagaimana? Jangan memandang rendah penampilan orang lain. Walaupun yang 'terbuka' sudah pasti berdosa, namun yang 'litup' belum tentu warak. Aku bukan ingin menjatuhkan sesiapa di sini. Cuma menulis untuk peringatan aku sendiri. Usia semakin sedikit bakinya, tetapi perubahan yang dibuat didalam kehidupan amatlah sedikit.

Aku sebenarnya sedang berusaha untuk menjadi baik. Pelbagai kejadian yang berlaku di dalam kehidpuan seharian telah membukakan mata yang selama ini tertutup. Aku harus berpatah balik ke jalan yang telah lama aku tinggalkan. Walaupun jalan lurus itu seakan masih jauh untuk aku tuju, namun aku tetap harus kembali. Mudah-mudahan aku berjaya menempatkan diri aku di kalangan orang-orang yang beriman.

No comments:

Post a Comment

~~~~~~~~~~~~~~i ♥ u, u ♥ me, we are happy family~~~~~~~~~~~~~~

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers