Showing posts with label perayaan. Show all posts
Showing posts with label perayaan. Show all posts

Thursday, 22 August 2013

Selamat hari raya Aidilfitri!

Rasanya masih belum terlambat lagi nak ucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua pambaca blog ini.

Dikesempatan ini aku memohon maaf andai ada coretan dan luahan di blog ini sama ada sengaja atau tidak mengguris hati dan perasaan pembaca.

Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dari Allah S.W.T


Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Thursday, 8 August 2013

Kemeriahan malam raya di kampungku

Setiap tahun, tepat jam 12.00 tengah malam 1 Syawal, perang bunga api seakan acara wajib di kampung kami dan sekitar bandaraya Kuching.

Tonton di sini rakaman aku malam tadi:

Memang awesome!

INFO: HARUS bergembira pada hari pertama Aidilfitri

Harus bergembira pada hari pertama Aidilfitri

Arau: Hukum menziarahi kubur pada hari pertama Aidilfitri boleh membawa kepada haram kerana ia boleh mengundang kesedihan serta mencemar sambutan kemenangan umat Islam yang seharusnya bergembira pada hari ini.

Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya berkata demikian mengulas khutbah solat Aidilfitri di semua masjid di negeri ini hari ini dengan menyifatkan perkara bida'ah berkenaan juga dilarang para ulama termasuk Rasulullah SAW sendiri.
Malah katanya, ada di sesetengah tempat di negara ini peniaga mengaut keuntungan dengan menjual kalungan bunga serta air mawar dan sebagainya di kawasan pintu masuk tanah perkuburan selepas berduyun manusia hadir menziarahi kubur pada hari raya pertama.

Menurutnya, ini perkara perlu dielak dan disedari semua pihak kerana ia boleh membawa kepada pelbagai lagi perkara haram.

"Banyak kita lihat kini terutama pada hari raya pertama Aidilfitri, orang ramai mula memenuhi tanah perkuburan sehingga lupa pada tuntutan utama pada hari raya iaitu bergembira, bermaaf-maafan dan menziarahi satu sama lain.

"Pada hari ini juga mereka (umat Islam) seharusnya meluangkan masa bersama keluarga sebaliknya bukan hanya menziarahi kubur yang boleh membawa kesedihan sehingga bertentangan dengan matlamat hari raya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, pada hari raya umat Islam seharusnya menyambung amalan ibadat dan istiqamah dalam melakukanya pada sepanjang tahun selepas berakhirnya Ramadan.

"Kita seharusnya menggunakan sambutan Aidilfitri ini bagi bergembira dan meluangkan masa menziarahi kubur pada hari-hari lain selepas itu," katanya.

Sumber: Harian Metro

Monday, 29 July 2013

Biskut Sarang Semut

20 Ramadhan 1434H

Sekejapnya masa berlalu. Ramadhan sudah menghampiri penghujung. Persiapan Syawal pun sudah dibuat sedikit. Semalam aku dan sepupu, Azie, untuk pertama kalinya mencuba untuk membakar Biskut Sarang Semut. Nasib baik hasilnya memuaskan. Memang sedap!
Jadi, walaupun aku tahu, kebanyakkan warganegara Malaysia yang berbangsa melayu ada menyimpan resepi biskut yang paling mudah ini, aku tetap juga nak menaip resepi biskut ini sebagai perkongsian untuk hari ini.

Biskut Sarang Semut

Bahan-bahan:
250 gm butter 
100 gm gula halus 
350 gm tepung gandum
100 gm tepung jagung
2 biji kuning telur 
1 sudu teh esen vanilla 
Sedikit chocolate rice / manik gula 

Cara-cara:
Pukul  butter dan gula hingga kembang
Masukkan kuning telur dan esen vanilla dan gaul rata. 
Masukkan tepung gandum dan tepung jagung yang telah diayak dan gaul rata. 
Parutkan adunan kedalam mangkuk kecil dan sudukan kedalam paper-cup. 
Taburkan coklat rice dan manik gula kecil. 
Bakar dalam oven dgn suhu 130’C sampai masak (lebih kurang 15 minit). 
Biarkan biskut sejuk dahulu barulah disimpan di dalam bekas kedap udara.

Bahannya senang, cara membuatnya pun senang. Aku lupa pulak nak kira berapa bijik yang kami dapat semalam. Aiman dan Abril masing-masing asik nak rasa, tak sampai ke rayalah jawabnya. Lepas ni kena buat lagi 2 adunan baru cukup kot.

Kalau jadi, kalau keadaan mengizinkan, aku nak buat Kek Lapis Strawberry Cheese. Nanti aku kogsikan resepinya di sini. Tunggu!

Tuesday, 9 July 2013

Ramadhan 1434H

Ramadhan menjelma lagi. Alhamdulillah masih diberi peluang merasai nikmat Allah.


Seperti tahun-tahun sebelumnya,  aku dan keluarga menziarahi pusara keluarga yang telah pergi menemui Yang Maha Pencipta. Menzahirkan yang mereka masih dekat dihati. Mengirimkan doa kepada mereka agar sentiasa tenang di sana.

Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan kita semua serta sentiasa merahmati usia kita yang masih hidup di dunia yang fana ini.

Salam Ramadhan buat semua dari aku dan keluarga.

Saturday, 27 October 2012

Salam Eid Adha


Salam Eid Adha dari aku dan keluarga. Tahun ni masuk tahun ke-2 tak ada gambar raya haji. Hehe. Yang ada tu gambar papa dan Armand sebelum ke surau untuk solat sunat Eid Adha. 

Gambar surau ni captured from my bedroom. Surau sebelah rumah jer


Published with Blogger-droid v2.0.9

Saturday, 1 September 2012

Sejarah Jalur Gemilang

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Salam 1 Malaysia.

Sempena Hari Kemerdekaan negara kita yang ke-55, hari ini aku nak kongsikan asal usul Bendera Malaysia atau nama gelarannya Jalur Gemilang. Semua maklumat diambil dari laman wikipedia dan Google.com :)




SEJARAH

Permulaan asal Jalur Gemilang bermula apabila pada tahun 1949, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baru.

Untuk tujuan itu satu pertandingan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.

Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu. Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur merah dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.


PENDAPAT UMUM DI AMBIL KIRA 

Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Keputusan pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail itu telah disiarkan pada 29 November1949. Keputusan akhir menunjukkan majoriti telah memilih rekabentuk ciptaan seorang arkitek kerajaan di Johor iaitu En. Mohamad bin Hamzah.

JALUR GEMILANG yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.

Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.


Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur merah-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950. 



REKA BENTUK TERAKHIR DIPILIH

Setelah diubahsuai beberapa kali, rekabentuk tersebut telah teliti pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:"That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."


REKA BENTUK DILULUSKAN

Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950. Dengan itu, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai Raja George VI.

Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.


PEMBENTUKAN MALAYSIA

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut.

Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.


SINGAPURA BERPISAH

Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang berpenjuru 14 melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.)


Begitulah sedikit sebanyak sejarah penciptaan Bendera Malaysia yang kemudiannya diberikan nama Jalur Gemilang sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-40 pada tahun 1997. Malangnya ada sesetengah pihak inginkan bendera yang sudah lebih separuh abad menjadi lambang kemegahan negara ini ditukar kepada bendera lain. Apa motif mereka? Aku sesungguhnya tidak ingin tahu dan tidak mahu ambil tahu perkara-perkara yang pada dasarnya hanyalah permainan politik semata-mata. Politik itu bukan dunia aku. Di akhir zaman ini, politik sudah tidak bersih. 

Walau apapun, aku sentiasa berharap dan mendoakan supaya negara kita boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju di luar sana. Merdekanya negara  kita selama 55 tahun ini diharapkan telah dapat memerdekakan diri kita sendiri daripada jajahan bangsa dan budaya asing dan hanya meninggalkan agama Islam dan budaya ketimuran yang kita amalkan selama ini. Semoga kemegahan dan kemakmuran Malaysia akan sentiasa berkekalan. 

Selamat menyambut Hari Kebangsaan,

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Wednesday, 29 August 2012

Mood raya Gangnam dan mereka yang telah tiada

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Masih dalam mood raya? Aku masih lagi dalam mood raya walaupun di Kuching biasanya kunjung mengunjung hanya dipraktikkan pada hari raya pertama hingga ketujuh sahaja. Selepas tempoh itu, jarang sekali ada yang datang berkunjung. Semasa di Putrajaya dulu, sepanjang Syawal, tiap-tiap malam kami ke rumah kawan-kawan. Lain dari yang lain. Tapi, aku ikut juga bak kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Masuk kandang kambing, mengembek, masuk kandang kucing, mengiau... Hehe..

Dalam seminggu ini, ada fenomena yang berlaku di Malaysia. Video Gangnam Raya. Dah jadi trending di laman sosial di negara ini. Baru hari ini aku berpeluang melihat sendiri apa yang rakyat Malaysia kecohkan hingga masuk paper tempatan. Hebat! 

Tengok kat sini:

Memang keluarga happening, sporting dan hebat :) Jarang kita jumpa keluarga macam ni. Tapi kan.. dalam sesebuah keluarga tu, kena ada orang tua, kalau orang tua dah tak ada, akan terasa kekurangannya terutama sekali pada musim perayaan. Dalam kita bergembira, semestinya kita teringat kepada mereka yang telah pergi meninggalkan kita. Begitu juga keluarga kami setelah kehilangan datuk dan nenek. Serinya masih ada, cuma tak seindah dulu. Apa yang tinggal hanyalah kenangan dan sedikit amanah. Semoga mereka tenang dan aman di sana... 

Raya terakhir beliau..

Aku sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa masa mereka sudah sampai dan telah jauh meninggalkan kami di muka bumi ini. Masa kami pula entah bila. Hanya berserah kepada Allah. Di dalam kehidupan seharian, walaupun aku ini bukan di dalam golongan orang-orang warak dan ahli masjid, sekurang-kurangnya, aku masih ingat kepada mati, yang secara automatik akan menjurus kepada amalan dan perbuatan baik di dalam kehidupan seharian. Semoga kita semua bukan di dalam golongan yang lalai. InsyaAllah..

Al-Fatihah buat yang telah tiada...

Monday, 27 August 2012

Kami dan Raya

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Gambar raya kami tahun ini..




Kononnya nak ke studio kerana sepupu aku, merangkap photographer family saban tahun, kameranya rosak dan masih bermalam di kedai. Memandangkan anak-anak tak dapat memberikan kerjasama semasa sesi bergambar di rumah, aku terus hilang keyakinan nak masuk studio.


Tahun ini merupakan tahun bersejarah kerana aku lebih banyak duduk di rumah dan tak ziarah kawan-kawan. Memang sangat tak larat dan tak sanggup kerana pendekarku tidak mahu memberikan kerjasama yang baik. Kami hanya beraya ke rumah saudara mara yang terdekat sahaja dan semestinya aku dan papa mengikut masa dan mood mereka. Kalau nak ikut mood kami, memang tak jadi beraya agaknya. Kena tunggu mood mereka semua OK dan masing-masing cukup tidur dan rehat (kecuali abang yang senang nak handle).

Rasanya, raya tahun ini kurang meriah berbanding sebelumnya. Jalan raya pun tak sibuk macam selalu. Biasanya kalau musim raya, jalan raya di kawasan aku akan sesak. Nak bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang dekat pun mengambil masa yang lama. Bayangkanlah... Mungkin ramai yang balik ke kampung masing-masing agaknya. Hmm... 

OKlah, nanti aku sambung lagi. Nak keluar makan kejap. Kat pejabat ni kosong lagi. Ramai yang masih beraya lagi kot. Aku pun ke pejabat pakai baju raya. Heheh.. Mood raya lagi k. Kalau boleh, nak sambung cuti lagi :) Tapi cuti dah nyawa-nyawa ikan. Simpan untuk waktu terdesak nanti.


Saturday, 18 August 2012

Salam Eidul Fitri Mubarak

Salam. Hari tu aku rancang nak update persiapan raya kami tapi memandangkan talian internet umpama siput sedut, maka harus dilupakan saja rancangan itu. 

Ramadhan dah melabuhkan tirainya, Syawal dah menjelma, persiapan dah lengkap dan serba sederhana. Kek dan biskut beli je tahun ni. Memang tak sempat nak buat sendiri.. Al-maklumlah perut dah membesar san anak-anak yang boleh tahan handalnya. Tak terkejar semua tu. 

Jadi, di kesempatan yang ada ini, aku nak memohon ampun dan maaf kepada semua pembaca blog aku, tak kiralah baru baca ke dah lama baca, mahupun yang sekadar lalu lalang sahaja. Manalah tahu ada diantara tulisan aku dengan tidak sengaja menyakitkan hati atau menyinggung perasaan korang. Aku manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan. Harap dimaafkanlah ye.

Tu je yang sempat aku tulis kali ni. Nak bantu mak buat apa yg patut. Kang beleter pulak ibuku itu.. Hihi.. 

Selamat Hari Raya semua!

Monday, 6 August 2012

Ramadhan, Syawal dan mercun: Aku sangat marah!

Salam Ramadhan.

Hari ini hari ke-16 umat Islam mengerjakan ibadat puasa pada tahun 1433H. Lagi 2 minggu, Syawal bakal menjelma. Mercun dan bunga api sememangnya sangat sinonim dengan bulan Ramadhan dan Syawal. Ya, mercun dan bunga api.

Aku adalah seorang yang sangat fobia dengan bunyi letupan. Bunga api masih boleh dimaafkan lagi walaupun aku was-was dengan keselamatannya. Sering terbayang difikiran ketika bunga api dimainkan, tiba-tiba ianya meletup. Ahhhhh.... ngeri!

Mercun adalah suatu benda yang wajib dijauhkan dari aku. JANGAN SEKALI-KALI MAIN MERCUN BERHAMPIRAN AKU. Kerana aku boleh hilang kewarasan disebabkannya. Hilang kewarasan di sini membawa maksud mulut yang mudah mengeluarkan perkataan-perkataan yang kurang elok didengari kanak-kanak ataupun tangan bertindak diluar kawalan. Aku rasa korang pun faham. Apakan daya, kampung aku bukan bapak aku punya. Kalau kampungku ini kepunyaan bapak aku, aku akan paksa dan pastikan bapak mengharamkan penggunaan bahan letupan kecil tersebut sebagai hiburan.

Beberapa tahun lalu, aku pernah mencampakkan telefon bimbit ke muka seorang lelaki di kampung aku kerana main mercun di depan aku walaupun dah berkali-kali aku bagi amaran. Hey! Sangat mengjengkelkan dan bahaya! 2 tahun lepas, aku marah anak Dato' yang tinggal di sebelah rumah aku kerana main mercun di hadapan rumah mak aku. Helloooo.. kalau nak main, tunggu aku tak ada di rumah boleh tak? Tak pun, mainlah dalam kawasan rumah sendiri. Dan malam tadi, di hadapan bengkel sepupu aku (sebelah gerai mak dan mak cik aku), ada hamba Allah campak 'air bomb' kat tengah jalan semasa aku sedang bancuh air. Tercampak sudu. Dah lah aku sedang berurusan dengan air panas yang sedang mendidih. Heyyy... kau kenapa haa???? Aku terkejut tau tak? Kalau aku sakit jantung, dah masuk ward tau.. Kalau air mendidih tu tumpah macam mana? Kau nak tanggung ke? Arghh.... Tension. Di mana-mana pun ada mercun. 

Nah, ini bahan bacaan untuk kamu yang suka bermain mercun....



Bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi juga membahayakan orang lain.


Selepas baca, bolehlah bertafakur. Muhasabah diri sebentar. Sebelum main mercun depan orang lain, fikir dulu apa perasaan korang kalau orang lain main mercun depan nenek, ibu, kakak, adik korang yang fobia ngan mercun. Korang marah ke tak marah? Korang suka ke tak?

Semoga saki baki Ramadhan ini menginsafkan korang semua. Main mercun tu tak berfaedah pun. Membazir wang ringgit semata-mata. Lebih baik wang itu masuk tabung masjid ke, sedekah kat fakir miskin ke, lagi berkat. Buat bekalan diri sendiri untuk ke 'sana' kelak.

Sebelum mengundur diri, aku nak mintak maaf sekiranya bahasa yang digunakan tidak menepati standard piawaian korang. Aku tengah emosi pasal mercun ni sebab aku memang sangat TAKUT, TAKUT, TAKUT, TAKUT, dan BENCIIIII... Entri ini ditujukan kepada semua umat manusia yang berada disekeliling aku yang gemar betul nak main mercun.


Ikhlas,

MamaAbril


~~~~~~~~~~~~~~i ♥ u, u ♥ me, we are happy family~~~~~~~~~~~~~~

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers